Pengsan!
Merancang balik Isnin kononnya Ahad jem teruk Isnin mungkin dah kurang sikit. Seperti biasa balik kampung laju-laju sahaja siap tapi bila bab nak balik Kajang semula bertanggung-tangguh, ada sahaja bendanya. Akhirnya kami anak beranak bergerak pukul 10.30am. Singgah Market Kodiang beli buah dokong, beli rebung madu berkira-kira nak digulaikan dengan ayam. Kat bonet ada ketupat palas kiriman mertua buat menantunya yang tidak balik beraya (sayang sangat kat menantu dia).
Separuh jalan dari Kodiang ke Jitra berhenti lagi beli buah yang banyak dijual sepanjang jalan. Beli buah jentik dan buah cempedak, cadang nak digoreng cempedaknya. Bayangkan sekilo cuma Rm2 sedangkan di Kajang mahu sekilo Rm7-8. Beli 2 biji sahaja pun kerana kat rumah tak ada siapa, jiran-jiran masih ada yang bercuti, tukang jahit saya pula bersambung raya di Kelantan sehingga hujung minggu.
Berkira-kira mungkin 6-7 jam lagi akan sampai ke Kajang, masa balik ke kampung dulu pun bertolak 10.30am sampai rumah mak pukul 4pm. Meneruskan perjalanan dengan aman, sampai R&R Gurun singgah bungkus nasi takut pula jem teruk kerana dalam radio bagi tahu ada lori rosak di dalam Terowong Menora, Gua Tempurung. Masak. Shell jem, minyak 3 bar speed ke Penang berkira-kira nak tambah minyak di Juru walaupun hati kuat kata kat situ sesak juga alhamdulillah ada Shell baru di buka di tepi jalan utama kat Penang jadi singgah kat situ penuhkan tangki.
Jalan start jem dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga Plaza Tol Juru. Laju kejap, sangkut lagi. 7 jam perjalanan baru sampai Ipoh. Bertabahlah. Start Gopeng jem lagi. Akhirnya berhenti di Perhentian LadangBikam lepaskan lelah, air pula tak ada nasib baik bekalan air mineral banyak. Letih tak usah cakaplah. Buka tudung ambik botol tuang air atas kepala. Makan pun kami hanya berhenti di tepi highway selepas R&R Gunung Semanggul nak masuk ke R&R dah jem sangat.
Siksa nak melepasi Slim River. Kaki dah lenguh walaupun guna kereta auto, macam manalah yang bawak kereta manual agaknya. Bila mula memasuki lebuhraya denga 3 lorong keadaan lebuhraya sedikit lega walaupun kereta agak banyak. Akhirnya kami sampai ke Kajang jam 11.30 malam. Angkat barang ke tingkat dua, parking kereta terus tido. Nasib baik rumah sudah cantik berkemas sebelum balik ke kampung. Sejuk sikit mata dan hati.
Tahun depan saya nekad nak sambung cuti lebih sikit lepas raya. Azab kot memandu dalam keadaan jem macam tu. Bayangkan mengadap jem sepanjang beratu-ratus kilometer macam tu, stress kot. Akhirnya saya mc kelmarin, kaki rasa nak jalan pun tak larat.
Gambar raya, cerita raya minggu depan kot. Kamera tertinggal kat kampung tukang jahit saya tolong bawak balik nanti.
