Minggu dulu tu saya balik kampung memang letih memandu sendirian. Jadi malamnya tidur saya sangat lena, kena pulak cuaca kampung yang dingin dan suasana yang sangat sunyi bertambah saya dibuai mimpi. Tiba-tiba hp berbunyi, pesanan ringkas terpampang wajah kesayangan hamba yang tak ikut bersama.
'Abang sakit lutut amat sangat. Berdenyut-denyut. Tak le tidur terlalu sakit. Mengerang. Nangis abang sorang-sorang.' - 1.46am
'Tadi merangkak cari ais demah lutut, ini merangkak cari ubat pulak" -1.54am
Pesanan ringkas yang kedua baru saya terjaga. Sebagai isteri hati saya sangat tersentuh sebab saya tiada di sisi di saat-saat dia sangat memerlukan bantuan saya. Biasanya kalau dia kena serangan gout seperti itu bermakna kami berdua memang tak dapat melelapkan mata sehingga ke pagi. Sayalah akan jadi jururawat sepanjang malam demah kaki dengan ais, gosok-gosok kaki yang sakit dan paling penting saya ada untuk tenangkan dia dalam kesakitan.
Sejak dah memasuki arena warga emas ini perangai dia semakin manja dan kadang-kadang tu mengada-ngada pulak. Perhatian kena lebih pada dia sahaja kalau tak mulalah merajuk-rajuk. Kadang-kadang tu kalau beri lebih perhatian pada hp pun boleh muncung mulutnya macam ikan puyu. Sesekali perhatian lebih pada anak-anak pun dia akan terasa seperti terabai.
Agaknya esok-esok bila saya dah mencapai umur seperti dia perasaan yang sama juga akan dirasa. Siapalah pulak yang akan layan kerenah saya ketika itu.
