Tahun lepas saya beli Pemanggang Ajaib Happy Call dengan harapan agar mudah saya hendak bakar-membakar tanpa perlu memedihkan mata menahan asap. Alhamdulillah impian termakbul jadi setiap minggu akan ada hidangan berasakan bakar. Ayam menjadi pilihan utama untuk dibakar.
Sejak mula persekolahan 2014 ketiga-tiga anak bersekolah pagi jadi aktiviti pagi sangat padat. Bangun pada pukul 4.30am saya memasak lauk makan tengahari sambil itu juga menyediakan sarapan pagi buat anak-anak. Sarapan mudah sebab biasanya adik lebih gemar sarapan ala-barat. Kalau saya menggoreng nasi pastinya perlu sekurang-kurangnya goreng kentang untuk dia.
Suatu hari bila badan keletihan minda terlebih rehat lalu saya terbabas. Jam 5.15am semua masih keras di peti sejuk. Sambil menguruskan dapur otak ligat berfikir dan akhirnya daging menjadi pilihan. Saya keluarkan daging potong dua dan rebus di dalam pemanggang ajaib. Sesekali saya buka dan pastikan ketulan daging terpisah. Alhamdulillah dalam masa 20 minit daging sudah empuk. Sejukkan sekejap dan potong nipis.
Kebiasaannya cili saya masak dan simpan di dalam peti sejuk. Saya panaskan sedikit cili tambah air masukkan daging biar mesra. Masukkan serai, daun limau purut dan bawang holland, nah dah siap 'paprik daging' segera saya. Mudah dan cepat.
Lepas ini boleh bereksperimen menggunakan pemanggang ajaib dengan cara lain pula. Suatu hari saya teringin mencuba buat kek menggunakan pemanggang ajaib pula.
