Kenangan akan sentiasa berlegar-legar di jiwa ada ketika bila kita melalui sesuatu perkara kita dapat merasai seolah-olah kita pernah melalui detik yang sama tanpa dapat dikesan bilakah ianya berlaku atau ianya cuma sebuah mimpi. Ada ketika bila makan sesuatu sepantas kilat jiwa bergetar merindui rasa yang sama mungkin suatu ketika dahulu kita pernah merasainya.
Rezeki dari seorang kawan bawa Kuih Kapal Terbang bukan kebiasaan bersalut gula tetapi bersalut kacang tanah. Masyaallah sedap! Tiba-tiba jiwa tersentak. Rasa ini yang pernah saya rindui dan akan sentiasa saya rindui. Sejak kebelakangan ini perasaan itu semakin kuat membenam di jiwa. Alhamdulillah. Rezeki akhirnya datang juga walaupun kuihnya berlainan tetapi rasanya tetap sama.
Semasa sekolah rendah seorang kawan bernama Rosnita akan berjualan Kuih Batang Buruk Kacang Tanah hasil air tangan ibunya. Sebungkus 20 sen! Tahun 80an. Rasanya itu sahaja harga yang mampu dibayar oleh anak-anak sekolah lagipun pada ketika itu tepung gandum berharga sekitar 60 sen sekilogram gula sekitar Rm1.20 sekilogram. Lagipun orang kampung berniaga banyak bersedekah.
Hari ini saya dapat menikmati rasa yang sama dengan Kuih Batang Buruk Kacang Tanah walaupun apa yang saya makan adalah Kuih Kapal Terbang bersalut kacang tanah. Mungkin dibuat menggunakan bahan yang sama jadi rasa hampir sama yang berbeza cara pembuatannya dan bentuknya sahaja.
Alhamdulillah. Nikmat Allah yang mana mampu kita dustakan. Berlegar di minda akhirnya rasa itu menjadi nyata.
