Rasa jantung bagaikan terhenti berdegup dengan khabar angin yang sedang berlegar-legar di serata tempat. Bicara yang tak mampu kita tahan dari diperkatakan, namun yang pasti semua itu berbekas dihati setiap orang. Minyak naik susah minyak turun saya lagi susah. Bila industry ini menjadi kebergantungan untuk rezeki yang dikais setiap hari. Jadi naik turun minyak turut mempengaruhi prestasi syarikat serta kedudukan kakitangan.
Setahun yang lalu saya telah melalui saat-saat sedih apabila terpaksa meninggalkan syarikat tempat saya bekerja secara terpaksa. Tujuh tahun menabur bakti, menimba ilmu semuanya terpaksa ditinggalkan dengan berat hati. Saya dibayar namun semua itu bukanlah nilai trauma yang saya hadapi akibat dari hilang pekerjaan. Setahun dua bulan berlalu khabar kurang enak mula bermain-main di sini. Hati mula bergetar. Apakah kisah itu akan berulang kembali?
Harga minyak yang kian jatuh mengakibatkan semua projek sama ada diberhentikan atau ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak diketahui. Syarikat di dalam bidang yang sama, satu persatu mula mengurangkan kakitangan akibat dari kesan kejatuhan harga minyak dunia bagi mengurangkan kos. Tak kurang juga yang mengurangkan gaji kakitangan sehingga 10%. Hanya mampu berdoa ‘naiklah wahai minyak’ bukan untuk kepentingan sendiri tetapi masih ramai yang terus berharap kerana harga minyak turut mempengaruhi ekonomi dunia.
Rezeki Allah s.w.t yang tentukan. Berdoa dan terus berdoa agar semua berjalan dengan lancar. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat setiap hambanya. Paling penting hiduplah sekadar kemampuan, agar bila jatuh tidak terus terduduk terduduk masih bisa meneruskan kehidupan tanpa perlu meminta-minta.
