Pernah dengar pekasam nasi? Bukan nasi tu dibuat pekasam tetapi ikan dibuat pekasam menggunakan nasi sejuk. Walaupun sudah 15 tahun menjadi menantu orang Perak inilah kali pertama saya lihat kakak ipar sediakan ikan pekasam. Sebelum ini saya hanya melihat yang siap digoreng dan beranggapan setiap pekasam adalah sama cara pembuatannya.
Perjalanan lebih 3 jam biasanya sangat membataskan masa saya untuk masak-memasak di dapur, sekadar membantu atau kadang-kadang saya langsung berbaring sementara kakak ipar memasak. Memandu sejauh 255km dari Kajang-Bota Kiri membuatkan saya sangat letih dan bertambah letih sebab kebiasaannya kami akan balik semula ke Kajang pada hari yang sama. Tumpuan Pak Tuan di jalanraya semakin berkurangan berikutan faktor umur jadi saya akan menjadi pemandu setiap kali balik kampung.
Cara-cara untuk membuat pekasan ini sangat mudah. Ikan talapia hitam dicuci bersih, digaramkan. Kemudian dilumurkan dengan nasi dan dimasukkan asam keping. Apa yang saya lihat didalam perut ikan mesti ada asam keping. Rasa pekasam ini agak kurang masamnya berbanding pekasam beras goreng. Masih boleh menikmati rasa ikan, masam yang kurang dan wangi semasa menggoreng juga tidak menusuk hidung. Berbanding pekasam beras goreng yang biasa orang Perlis buat bau pekasam ini sedikit kurang berbanding pekasam beras goreng yang berbau agak kuat.
Bekalan dari kakak ipar. Sebelum menggoreng buang semua nasi yang ada di badan dan perut ikan. Saya buat kerja senang cuci sahaja terus dengan air.
Inilah hasilnya. Wangi dan sedap makan dengan nasi panas.