Cabaran menjadi guru bukan sedikit tambahan pula menjadi guru di sekolah menengah. Di akui menjadi guru zaman dahulu tidak sama dengan menjadi guru di zaman sekarang yang serba moden dan info hanya dihujung jari. Bukan cabaran mengajar sahaja tetapi cabaran disiplin anak murid sekarang amatlah memeningkan kepala cikgu. Ibubapa zaman dahulu (zaman sayalah) memang menyerahkan sepenuhnya anak-anak kepada cikgu terutama ibubapa di luar bandar. Kena marah kena rotan jangan ada yang berani balik mengadu. Cikgu-cikgu pula menerima dan mendidik anak murid seperti mendidik anak sendiri.
Hayani mula bersekolah di sekolah menengah awal tahun dulu di Perlis. Sejak mula bersekolah dia sangat fobia dengan seorang cikgu di sekolah menengah itu. Pertama kali masuk sekolah sepupu Aina yang sama tingkatan dengan Kakak Hayani kena tampar belakang dan sengguk kepala apabila selesai perhimpunan sebab katanya lambat berjalan padahal budak-budak baru masuk Tingkatan Satu tentunya tercari-cari di mana kelas mereka hendak berbaris untuk bacaan Yassin pada hari Jumaat. Rutin Kelas Khas pula memang balik lewat pukul 3 dan apabila hari ada kokurikulum sehingga jam 4 petang. Jadi pelajar di wajibkan bersolat dan guru perempuan tadi akan berjalan dengan membawa kayu mengejar pelajar yang liat bersolat. Dia trauma melihat tindakan cikgu tersebut. Cikgu ini juga kuat memaki hamun tak kena pula dengan penampilan bertudungnya itu.
Kakak Hayani mengalami ketakutan hendak ke sekolah sebab cikgu tersebut. Katanya Mak Lang Kam (sepupu Aina) tak buat salah pun tapi kena jugak (tampar belakang dan sengguk kepala). Nampak cikgu tu macam nampak harimau kot gamaknya. Mak tok banyak lah dok nasihatkan dia.
Rupanya bukan seorang-dua ibu bapa yang pergi ke sekolah mengadu berkenaan guru tersebut. Bila dipanggil oleh pengetua dan berbincang bersama ibu-bapa murid semua nampak baik tetapi akhirnya pengetua pula yang di pulaukan oleh guru-guru yang geng dengan cikgu tersebut (pengetua perempuan). Beberapa aduan telah di buat di Jabatan Pendidikan Negeri tetapi nampak gayanya jabatan lebih berminat untuk menjaga guru-guru mereka berbanding mengambil tidakan terhadap kakitangan sendiri.
Bagi saya mendidik biarlah betul caranya. Di buatnya bila ditampar belakang seseorang murid dan tiba-tiba budak itu jatuh, kejang dan membiru siapa yang nak menanggung silap itu nanti. Guru dulu-dulu garang juga tapi nak sengguk kepala murid tu tak pernah pula saya nampak. Rotan setakat merah tapak tangan tu biasa, rotan hendak mengajar apa salahnya bukan merotan melepaskan geram.
Saya doakan agar Allah s.w.t sentiasa melindungi Kakak Hayani, dikuatkan hatinya demi pelajaran dan perjalan hidup yang masih panjang. Buat cikgu tersebut saya doakan agar dia berubah kerana cikgu yang baik akan sentiasa disayangi pelajar dan doa pelajar juga akan sentiasa mengiringi mereka.
